Monday, October 19, 2009

Bertegur Sapa

NILAI BERTEGUR SAPA


Assalamualaikum w.b.t


Assalamualaikum, vanakkam, ni hauma, apa khabar, hai, hello, nama berita, apa kaba kitak tek?. Beberapa istilah yang biasa dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan kita bermasyarakat sebagai amalan tegur-menegur.

Tidak terbatas dengan apa macam loghat sekalipun, bahkan sekuntum senyuman serta bermanis muka sudah cukup untuk kita menegur. Namun, teguran tersebut haruslah secara berhikmah dan kena pada tempat dan keadaannya. Hati yang lembut dan jiwa yang halus bisa cair dek panahan sapaan walaupun dengan sapaan yang ringkas.


Budaya menegur semakin hari, semakin tidak diambil endah oleh masyarakat sekeliling. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Sampaikan, jiran di sebelah yang sudah bertahun lamanya juga tidak dikenali siapa orangnya. Amat parah. Inikah budaya kita?


Nilai Ukhwah

Dalam Islam, bertegur sapa amatlah digalakkan. Bukan sahaja sesama muslim, juga kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa, agama, kaum, negara, warna kulit, tahap keimanan, pangkat, status dan sebagainya. Kebanyakan kita pada hari ini, lebih mementingkan pangkat, darjat dan mengamalkan sikap "kau, kau. Aku, aku", tanpa memikirkan orang di sekitar. Contoh lagi kita dapat lihat satu kelompok dengan kelompok mereka sahaja, bila rasa benci, tak suka, tak tegur. Molekkah sikap sebegitu?. Amalan bertegur sapa, kenal-mengenali amat banyak manfaatnya. Bila bertegur, kita dapat kenal orangnya. Yang sudah kenal, semakin eratlah ukhwahnya. Ukhwah yang terjalin dapat membentuk peribadi masyarakat yang unggul, membentuk sifat saling hormat-menghormati, tolong-menolong, dan sifat kebertanggungjawaban.


Antara tanggungjawab seorang muslim kepada muslim yang lain ialah "Apabila bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam".

Turut dinyatakan "Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari".

p/s : Bertegur sapalah dan ucapkanlah salam..

0 comments:

Post a Comment